Pendekatan pengajaran berbentuk interaktif dan inovatif lebih sesuai dan diminati oleh pelajar pada era kini berbanding dengan kaedah tradisional yang hanya berpusatkan guru semata-mata. Salah satu alternatif dalam mempraktikkan pendekatan tersebut adalah melalui penggunaan multimedia yang bertindak sebagai bahan bantu mengajar (Siti Aminah & Fazlinda, 2018; Aszoura, 2007).
Penggunaan teknologi multimedia dalam PdP amat penting seiring dengan keperluan dan minat pelajar masa kini. Justeru, integrasi antara metodologi konvensional dan teknologi terkini diharapkan berupaya mengubah persepsi pelajar bahawa pembelajaran tatabahasa Arab sukar. Menurut Nik Muhammad Rozi (2018), para guru perlu kreatif dalam mengambil pendekatan pengajaran untuk memastikan pelajar khususnya yang lemah tidak tercicir dan perlu dibimbing dalam mempelajari ilmu tatabahasa Arab. Penggunaan multimedia dalam pengajaran sangat sesuai dipraktikkan kepada pelajar yang mempunyai tahap penguasaan yang lemah (Sharifah Fatimah, 2013). Pendekatan yang pada mulanya memerlukan pelajar fokus dan berfikir secara mendalam dengan penerangan oleh guru, kemudian diringkaskan dan dipersembahkan dengan cara yang menarik, akan membantu pelajar dalam memahami dan mengingati maklumat yang disampaikan dengan mudah dan berkesan. Justeru, pendekatan dalam menarik minat pelajar menguasai tatabahasa Arab perlu diaplikasikan dalam bentuk yang mudah dan mesra pelajar (Mat Nawi et al., 2014).
Sebagai alternatif untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan yang dinyatakan, penggunaan penyampaian maklumat melalui infografik merupakan satu kaedah yang baik dan berkesan. Maklumat dipersembahkan dalam bentuk grafik yang menarik. Kajian Mohd Amin et al. (2017) mendapati bahawa pelajar lebih cenderung untuk memahami maklumat dengan menggunakan komunikasi visual yang berkesan dan gabungan grafik yang menarik. Mereka berpandangan bahawa sesuatu maklumat yang disampaikan perlu menekankan penggunaan warna-warna yang menarik berserta teks yang ringkas dan mudah difahami berbantukan gambar rajah, carta atau jadual yang berkaitan untuk menghasilkan penyampaian maklumat yang sistematik dan berkesan.
Menurut Sweeper (2016), penggunaan data visual dan infografik menjadi sumber penyampaian maklumat yang penting sebagai salah satu alat pengajaran yang berupaya untuk mengakses, memanipulasi dan menggunakan maklumat statistik yang kompleks sehingga menjadi penting dalam kehidupan seharian. Infografik mampu mempersembahkan maklumat yang kompleks melalui cara yang holistik dengan gambar yang besar serta membolehkan pereka bentuk mempamerkan pengetahuan mereka dengan lebih lagi (Kibar & Akkoyunlu, 2015).
Selari dengan perubahan dalam kaedah mengakses maklumat yang mempengaruhi format penyampaian maklumat untuk generasi abad ke-21 atau generasi digital, sumber pengetahuan visual dengan teks yang ringkas lebih disukai semua (Ghode, 2012). Ditambah pula dengan bahan multimedia interaktif berupa teks, video, audio dan animasi yang mampu meningkatkan kadar penerimaan pelajar terhadap sesuatu maklumat yang disampaikan sebanyak 30% lebih berbanding dengan kaedah tradisional (Baharuddin et. al, 2001). Penggunaan elemen multimedia ini juga dapat merangsang minat pelajar untuk mengikuti PdP dengan lebih menarik (Siti Aminah & Fazlinda, 2018; Kamarudin, 2013; Rian & Kamisah, 2012; Ismail, 2012). Selain itu, aplikasi teknologi melalui penggunaan animasi dalam pendidikan membolehkan maklumat yang kompleks disampaikan secara visual dan lebih berkesan (Amanee et al., 2019; Jamalludin & Zaidatun, 2003).
Justeru, kajian ini cuba mengemukakan satu alternatif penyelesaian melalui pembangunan modul pembelajaran tatabahasa Arab dengan menggunakan infografik beranimasi bertujuan menarik minat pelajar mempelajarinya selain memudahkan pemahaman berdasarkan kelebihan yang wujud pada kaedah tersebut. Modul ini dinamakan sebagai Modul Infografik Qawa’id Arabiyyah atau singkatannya Modul iGQA.